jump to navigation

BERKHALWAT DI GUA HIRA’ 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Rasulullah SAW adalah seorang yang dihormati dan dipercayai di kalangan penduduk Makkah. Baginda begitu terkenal dengan akhlaq yang mulia dan sentiasa menghubungkan silaturrahim. Sikap dan peribadi Baginda yang mulia ini adalah begitu berbeza sekali dengan kebanyakan penduduk Makkah pada ketika itu yang tenggelam dalam lautan jahiliyyah.

Oleh kerana itu wajar sekali apabila Rasulullah SAW membiarkan dirinya berjalan sesuai dengan pembawaannya, iaitu pembawaan berfikir dan bermenung, dengan mendengarkan percakapan masyarakatnya tentang berhala-berhala, serta apa pula yang dikatakan orang-orang Nasrani dan Yahudi tentang diri mereka itu. Baginda berfikir dan merenungkan. Di kalangan masyarakatnya Bagindalah orang yang paling banyak berfikir dan merenung. Jiwa yang kuat dan berbakat ini – jiwa yang sudah mempunyai persiapan untuk kelak menyampaikan risalah Tuhan kepada umat manusia, serta membawa kepada kehidupan rohani yang hakiki – jiwa demikian tidak mungkin berdiam diri saja melihat manusia yang sudah hanyut ke dalam lembah kesesatan. Sudah seharusnya Baginda mencari petunjuk dalam alam semesta ini, sehingga Tuhan nanti menentukannya sebagai yang akan menerima risalahNya. Begitu besar dan kuatnya kecenderungan rohani yang ada padanya, Baginda tidak ingin menjadikan dirinya seperti dukun atau ingin menempatkan diri sebagai ahli fikir seperti dilakukan oleh Waraqa bin Naufal dan orang-orang sepertinya. Yang dicarinya hanyalah kebenaran semata-mata. Fikirannya penuh untuk itu, banyak sekali Baginda bermenung. Fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam hatinya itu sedikit sekali dinyatakan kepada orang lain.

Sudah menjadi kebiasaan orang-orang ’Arab pada masa itu di mana golongan berfikir mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri dari keramaian orang, berkhalwat dan mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa, mengharapkan diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan tahannuth.

Di puncak Gunung Hira’,sejauh dua farsakh ( bahasa Farsi, parsang, ukuran panjang dahulu kala, kira-kira 3.5 batu atau hampir 6 km ) sebelah utara Makkah, terletak sebuah gua yang baik sekali dijadikan tempat menyendiri dan tahannuth. Sepanjang bulan Ramadhan setiap tahun Baginda pergi ke sana dan berdiam di tempat itu, cukup hanya dengan sedikit bekalan yang dibawanya. Baginda tekun dalam renungan dan ibadat, jauh dari segala kesibukan hidup dan keributan manusia. Baginda mencari kebenaran, dan hanya kebenaran semata.

Di tempat ini rupanya Rasulullah SAW mendapat tempat yang paling baik guna mendalami fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam dirinya. Juga di tempat ini Baginda mendapatkan ketenangan dalam dirinya serta ubat penawar hasrat hati yang ingin menyendiri, ingin mencari jalan memenuhi kerinduannya yang selalu makin besar, ingin mencapai ma’rifat serta mengetahui rahsia alam semesta.

Demikian kuatnya Baginda merenung mencari hakikat kebenaran itu, sehingga Baginda lupa akan dirinya, lupa makan, lupa segala yang ada dalam hidup ini. Sebab segala yang dilihatnya dalam kehidupan manusia sekitarnya, bukanlah suatu kebenaran. Di situ Baginda mengungkapkan dalam kesedaran batinnya segala yang disedarinya. Tambah tidak suka lagi Baginda akan segala prasangka yang pernah dikejar-kejar orang.

Baginda tidak berharap kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendeta, melainkan dalam alam sekitarnya :dalam luasan langit dan bintang-bintang, dalam bulan dan matahari, dalam padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang berkilauan. Atau di kala langit yang jernih dan indah, bermandikan cahaya bulan dan bintang yang sedap dan lembut, atau dalam laut dan deburan ombak, dan dalam segala yang ada di sebalik itu, yang ada hubungannya dengan wujud ini, serta diliputi seluruh kesatuan wujud. Dalam alam itulah Baginda mencari haqiqat tertinggi. Dalam usaha mencapai itu, pada saat-saat Baginda menyendiri demikian jiwanya merasa bebas mencapai hubungan dengan alam semesta ini, menembusi tabir yang menyimpan semua rahsia. Baginda tidak memerlukan permenungan yang panjang untuk mengetahui bahawa apa yang dipraktikkan oleh masyarakatnya dalam soal-soal hidup dan apa yang disajikan sebagai korban-korban untuk tuhan-tuhan mereka itu, tidak membawa kebenaran sama sekali. Berhala-berhala yang tidak berguna, tidak menciptakan dan tidak pula mendatangkan rezeki, tidak dapat memberi perlindungan kepada sesiapapun yang ditimpa bahaya. Hubal, Lata dan ‘Uzza, dan semua patung-patung dan berhala-berhala yang terpancang di dalam dan di sekitar Ka’bah, tidak pernah menciptakan, sekalipun seekor lalat, atau akan mendatangkan suatu kebaikan bagi Makkah.

Tetapi! Ah, di manakah kebenaran itu! Di mana kebenaran dalam alam semesta yang luas ini, luas dengan buminya, dengan lapisan-lapisan langit dan bintang-bintangnya? Adakah barangkali dalam bintang yang berkelip-kelip, yang memancarkan cahaya dan kehangatan kepada manusia, dari sana pula hujan diturunkan, sehingga kerananya manusia dan semua makhluk yang ada di muka bumi ini hidup dari air, dari cahaya dan kehangatan udara? Tidak! Bintang-bintang itu tidak lain adalah benda-benda langit seperti bumi ini juga. Atau barangkali di sebalik benda-benda itu terdapat kuasa yang tidak terbatas, tidak berkesudahan?

Tetapi apa kuasa itu? Apakah hidup yang kita alami sekarang dan esok akan berkesudahan? Apa asalnya dan apa sumbernya? Kebetulan sajakah bumi ini dijadikan dan dijadikan pula kita di dalamnya? Tetapi, baik bumi atau hidup ini sudah mempunyai ketentuan yang pasti yang tidak berubah-ubah, dan tidak mungkin dasarnya hanya kebetulan saja. Apakah yang dialami manusia, kebaikan atau keburukan, datang atas kehendak manusia sendiri, atau itu sudah ditentukan sehingga manusia tidak berkuasa memilih yang lain?

Masalah-masalah kejiwaan dan kerohanian sebegitu, itu juga yang difikirkan Rasulullah SAW selama Baginda mengasingkan diri dan bertafakur dalam Gua Hira’. Baginda ingin melihat kebenaran itu dan melihat hidup itu seluruhnya. Pemikirannya itu memenuhi jiwanya, memenuhi jantungnya, peribadinya dan seluruh wujudnya. Siang dan malam hal ini menderanya terus menerus. Apabila bulan Ramadhan sudah berlalu dan Baginda kembali kepada Khadijah, pengaruh fikiran yang masih membekas padanya membuatkan Khadijah menanyakannya selalu, karena dia pun ingin lega hatinya apabila sudah diketahuinya Baginda dalam keadaan sihat dan afiat.

Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Rasulullah SAW menganut sesuatu syari’at tertentu? Dalam hal ini ulama’-ulama’ berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syari’at yang digunakannya melakukan ibadat itu : Ada yang mengatakan menurut syari’at Nuh, ada yang mengatakan menurut Ibrahim, yang lain berkata menurut syari’at Musa, ada yang mengatakan menurut Isa dan ada pula yang mengatakan, yang lebih dapat dipastikan, bahawa Baginda menganut sesuatu syari’at dan diamalkannya. Barangkali pendapat yang terakhir ini lebih tepat daripada yang sebelumnya. Ini adalah sesuai dengan dasar renungan dan pemikiran yang menjadi kedambaan Baginda.

Tahun telah berganti tahun dan kini telah tiba pula bulan Ramadan. Rasulullah SAW pergi ke Gua Hira’, Baginda kembali bermenung, sedikit demi sedikit Baginda bertambah matang, jiwanya pun semakin penuh. Sesudah beberapa tahun, jiwa yang terbawa oleh kebenaran tertinggi itu dalam tidurnya bertemu dengan mimpi haqiqi yang memancarkan cahaya kebenaran yang selama ini dicarinya. Bersamaan dengan itu pula dilihatnya hidup yang sia-sia, hidup tipu daya dengan segala macam kemewahan yang tiada berguna.

Ketika itulah Rasulullah SAW percaya bahawa masyarakatnya telah sesat daripada jalan yang benar, dan kehidupan kerohanian mereka telah rosak kerana tunduk kepada khayalan berhala-berhala serta kepercayaan-kepercayaan semacamnya yang tidak kurang pula sesatnya. Semua yang sudah pernah disebutkan oleh kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak dapat menolong mereka dari kesesatan itu. Apa yang disebutkan mereka itu masing-masing memang benar; tetapi masih mengandungi bermacam-macam tahyul dan pelbagai macam cara paganisma, yang tidak mungkin sejalan dengan kebenaran sejati, kebenaran mutlak yang sederhana, tidak mengenal segala macam spekulasi perdebatan kosong, yang menjadi pusat perhatian kedua-dua golongan Ahli Kitab itu. Dan kebenaran itu ialah Allah SWT, Khaliq seluruh alam, tidak ada Tuhan selain Dia. Kebenaran itu ialah Allah SWT Pemelihara semesta alam. Dialah Maha Rahman dan Maha Rahim. Kebenaran itu ialah bahawa manusia dinilai berdasarkan perbuatannya. “Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat atom pun akan dilihatNya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat atom pun akan dilihatNya pula.” (Qur’an, 99:7-8). Dan bahawa syurga itu benar adanya dan neraka pun benar adanya. Mereka yang menyembah tuhan selain Allah SWT mereka itulah yang akan menghuni neraka, tempat tinggal dan kediaman yang paling durjana.

Kini Rasulullah SAW sudah menjelang usia empat puluh tahun. Baginda pergi ke Gua Hira’ untuk melakukan tahannuth seperti selalunya. Jiwanya sudah penuh iman atas segala apa yang telah dilihatnya dalam mimpi haqiqi itu. Baginda telah membebaskan diri daripada segala kebatilan. Tuhan telah mendidiknya, dan didikannya baik sekali. Dengan sepenuh kalbu Baginda menghadapkan diri ke jalan yang lurus, kepada kebenaran yang abadi. Baginda telah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan seluruh jiwanya agar dapat memberikan hidayah dan bimbingan kepada masyarakatnya yang sedang hanyut dalam lembah kesesatan.

Dalam hasratnya menghadapkan diri itu Rasulullah SAW bangun di tengah malam, kalbu dan kesedarannya dinyalakan. Lama sekali Baginda berpuasa, dengan begitu renungannya dihidupkan. Kemudian Baginda turun dari gua itu, melangkah ke jalan-jalan di sahara. Lalu Baginda kembali ke tempatnya berkhalwat, hendak menguji apa yang berkecamuk dalam perasaannya itu, apa yang terlihat dalam mimpi itu? Hal seperti itu berjalan selama enam bulan, sampaikan Baginda merasa khuatir akan membawa akibat lain terhadap dirinya. Oleh kerana itu Baginda menyatakan rasa kekhuatirannya itu kepada Khadijah dan menceritakan apa yang telah dilihatnya. Baginda khuatir kalau-kalau itu adalah gangguan jin.

Tetapi isteri yang setia itu dapat menenteramkan hatinya. Dikatakannya bahawa Baginda adalah al-Amin, tidak mungkin jin akan mendekatinya, sekalipun memang tidak terlintas dalam fikiran isteri atau dalam fikiran suami itu, bahawa Allah SWT telah mempersiapkan pilihanNya itu dengan memberikan latihan rohani sedemikian rupa guna untuk menghadapi saat yang dahsyat, berita yang dahsyat, iaitu saat datangnya wahyu pertama. Dengan itu Baginda dipersiapkan untuk membawakan pesan dan risalah yang besar. 5

PENGADILAN PERLETAKAN HAJARUL ASWAD 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Peristiwa ini berlaku pada waktu masyarakat Makkah sedang sibuk disebabkan oleh bencana banjir besar yang turun dari gunung. Banjir ini telah menimpa dan meretakkan dinding-dinding Ka’bah yang sememangnya sudah lapuk kerana pernah terbakar. Oleh itu, dinding-dinding Ka’bah ini perlu dibaiki agar ianya elok seperti sediakala. Tambahan pula, setiap tahun ribuan manusia akan berkunjung ke Ka’bah untuk menunaikan haji.

Sebelum itupun pihak Quraisy memang sudah memikirkan untuk membaiki Ka’bah. Tempat yang tidak beratap itu menjadi sasaran pencuri mengambil barang-barang berharga di dalamnya. Hanya saja Quraisy merasa takut; kalau bangunannya diperkuat, pintunya ditinggikan dan diberi beratap, dewa Ka’bah yang suci itu akan menurunkan bencana kepada mereka. Sepanjang zaman jahiliyyah, keadaan mereka diliputi oleh pelbagai macam legenda dan kepercayaan karut yang mengancam sesiapa yang berani mengadakan sesuatu perubahan. Dengan demikian perbuatan itu dianggap tidak sepatutnya dilakukan.

Tetapi sesudah mengalami bencana banjir, tindakan demikian itu adalah suatu keharusan, walaupun masih serba takut-takut dan ragu-ragu. Suatu kebetulan pula, telah terjadi sebuah kapal milik seorang pedagang Rumawi bernama Baqum yang datang dari Mesir, terhempas di laut dan pecah. Sebenarnya Baqum ini seorang ahli bangunan yang mengetahui juga soal-soal perdagangan. Sesudah Quraisy mengetahui hal ini, maka berangkatlah al-Walid bin al-Mughira dengan beberapa orang dari Quraisy ke Jeddah. Kapal itu dibelinya dari pemiliknya, yang sekalian diajaknya berunding supaya sama-sama datang ke Makkah bagi membantu mereka membina Ka’bah kembali. Baqum menyetujui permintaan itu. Pada waktu itu di Makkah ada seorang Kopti yang mempunyai keahlian sebagai tukang kayu. Persetujuan tercapai bahawa dia pun akan bekerja dengan mendapat bantuan Baqum.

Sudut-sudut Ka’bah itu oleh Quraisy dibahagikan kepada empat bahagian. Setiap qabilah mendapat satu sudut yang harus dirombak dan dibina kembali. Sebelum bertindak melakukan perombakan itu, mereka masih ragu-ragu dan khuatir akan mendapat bencana. Kemudian al-Walid bin al-Mughira tampil ke depan dengan sedikit takut-takut. Setelah dia berdoa kepada dewa-dewanya, dia mulai merombak bahagian sudut selatan. Tinggal lagi orang menunggu-nunggu apa yang akan dilakukan Tuhan nanti terhadap al-Walid. Tetapi setelah ternyata sehingga pagi tiada terjadi apa-apa, mereka pun ramai-ramai merombaknya dan memindahkan batu-batu yang ada. Rasulullah SAW juga turut membawa batu-batu itu.

Setelah mereka berusaha membongkar batu hijau yang terdapat di situ tetapi tidak berhasil, dibiarkannya batu itu sebagai tapak bangunan. Orang-orang Quraisy mula mengangkut batu-batu granit berwarna biru dari gunung-gunung di sekitar tempat itu, dan pembinaan pun segera dimulakan. Setelah bangunan itu setinggi orang berdiri dan tiba saatnya meletakkan Hajarul Aswad yang disucikan di tempatnya semula di sudut timur, maka timbullah perselisihan di kalangan Quraisy, siapa yang seharusnya mendapat kehormatan meletakkan batu itu di tempatnya. Demikian memuncaknya perselisihan itu sehingga hampir saja timbul perang saudara kerananya. Keluarga ‘Abdud-Dar dan keluarga ‘Adi bersepakat tidak akan membiarkan qabilah yang mana pun campur tangan dalam kehormatan yang besar ini. Untuk itu mereka mengangkat sumpah bersama. Keluarga ‘Abdud-Dar membawa sebuah bekas berisi darah. Tangan mereka dimasukkan ke dalam bekas itu guna memperkuatkan sumpah mereka. Kerana itu peristiwa ini diberi nama La’aqatud-Dam, yakni ‘jilatan darah’.

Abu Umayyah bin al-Mughira dari Bani Makhzum, adalah orang yang tertua di antara mereka, dihormati dan dipatuhi. Setelah melihat keadaan sebegitu, dia berkata kepada mereka, “Serahkanlah keputusan masalah kamu ini di tangan orang yang pertama sekali memasuki pintu Shafa ini pada esok pagi”. Lalu mereka pun menunggu pada awal pagi untuk melihat siapakah orang yang pertama memasuki pintu Shafa tersebut. Maka orang tersebut ialah Muhammad Rasulullah SAW.

Tatkala mereka melihat Rasulullah SAW adalah orang yang pertama memasuki tempat itu, mereka berseru, “Ini al-Amin, kami dapat menerima keputusannya.”

Lalu mereka menceritakan peristiwa itu kepadanya. Baginda pun mendengarkan dan sudah melihat di mata mereka betapa berkobarnya api  permusuhan itu. Baginda berfikir sebentar, lalu katanya, ”Bawakan ke mari sehelai kain”. Setelah kain dibawakan, dihamparkannya dan diambilnya batu itu sendiri dengan tangannya yang mulia itu lalu diletakkan Hajarul Aswad itu ke atas kain tersebut dengan  tangannya sendiri, kemudian katanya, “Hendaknya setiap ketua kabilah memegang hujung kain ini.”

Mereka  bersama-sama membawa kain tersebut ke tempat batu itu akan diletakkan. Lalu Rasulullah SAW mengeluarkan batu itu dari kain dan meletakkannya  di tempatnya. Dengan demikian perselisihan itu berakhir dan bencana dapat dihindarkan.

Lantaran keputusan hukum yang sangat adil itu, sangatlah gembira hati orang dan bertambah hormat orang kepadanya, meskipun Rasulullah SAW pada waktu itu baru seorang anak muda. Bertambah masyhurlah Rasulullah SAW dan gelaran al-Amin itu sentiasa menjadi sebutan penduduk-penduduk Makkah.


Quraisy menyelesaikan bangunan Ka’bah sampai setinggi 18 hasta (± 11 meter), dan ditinggikan dari tanah sedemikian rupa, sehingga mereka dapat menyuruh atau melarang orang masuk. Di dalam itu mereka membuat enam batang tiang dalam dua deretan dan di sudut barat sebelah dalam dipasang sebuah  tangga naik sampai ke teras di atas lalu diletakkan berhala Hubal di dalam Ka’bah. Juga di tempat itu diletakkan barang-barang berharga lainnya, yang sebelum dibina dan diberi beratap sering menjadi sasaran pencurian.

Mengenai umur Muhammad Rasulullah SAW sewaktu membina Ka’bah dan memberikan keputusannya tentang batu itu, masih terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan berumur 25 lima tahun. Ibnu Ishaq berpendapat umurnya 35 tahun. Kedua pendapat itu baik yang pertama atau yang kemudian, sama saja; tapi yang jelas cepatnya Quraisy menerima ketentuan orang yang pertama memasuki pintu Shafa, disusul dengan tindakan Baginda mengambil batu dan diletakkan di atas kain lalu mengambilnya dari kain dan diletakkan di tempatnya dalam Ka’bah, menunjukkan betapa tingginya kedudukan Baginda di mata penduduk Mekah, betapa besarnya penghargaan mereka kepadanya sebagai seorang yang berjiwa besar.

Adanya pertentangan antara qabilah, adanya persepakatan La’aqatud-Dam (‘Jilatan Darah’), dan penyerahan keputusan kepada sesiapa yang mula-mula memasuki pintu Shafa, menunjukkan bahwa kekuasaan di Makkah sebenarnya sudah jatuh.

Kekuasaan yang dulu ada pada Qushayy, Hasyim dan Abdul Muthalib sekarang sudah tiada lagi. Adanya pertentangan kekuasaan antara keluarga Hasyim dan keluarga Umayyah sesudah kematian Abdul Muthalib memberikan kesan yang besar kepada politik Makkah. 5


PERKAWINAN DENGAN SAYYIDATINA KHADIJAH 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Semasa di Syam Maisarah telah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawan dengan budi pekerti Baginda yang mulia dan segala-galanya ini terus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawan dengan sifat amanah dan budi pekerti Baginda yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah keuntungan yang berlebihan yang diperolehinya dengan berkat Baginda.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh Rasulullah SAW dan dengan tidak membuang masa, Baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya ‘Amru bin Asad.

Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Maskahwinnya ialah 20 ekor unta muda. Pada waktu itu Rasulullah berusia genap 25 tahun sedangkan Khadijah telah berusia 40 tahun. 2

PERJALANAN KE SYAM KALI KEDUA 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah merupakan seorang perempuan yang memegang perniagaan besar, bangsawan, bernama baik dan berharta. Biasanya dia menggaji orang untuk menjalankan perniagaan itu. Beliau juga terkenal dengan kemuliaan budi. Sebilangan besar orang-orang ‘Arab pada masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.

Apabila Khadijah mendengar berita perihal peribadi Rasulullah SAW yang mulia dan mempunyai akhlaq yang terpuji itu, beliau terus mempelawa Rasulullah SAW supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi keuntungan yang lebih daripada yang pernah diberikannya kepada orang lain. Untuk mengiringi Baginda dalam usaha perniagaan nanti Baginda akan dibantu oleh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah.

Tawaran itu telah diterima baik oleh Rasulullah SAW dengan penuh kerelaan hati. Baginda terus berangkat ke negeri Syam untuk menjalankan urusan perniagaan bersama Maisarah. Dalam perniagaan ini Baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Apabila Baginda kembali bertemu Khadijah dengan keuntungannya tadi, Baginda terus menyerahkan  kepada Khadijah apa yang perlu dan patut diserahkan dengan penuh amanah. 2

TERLIBAT DALAM PEPERANGAN FIJAR 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Pada waktu Rasulullah SAW masih muda belia, berkobarlah peperangan ‘Fijar’. Fijar, ertinya peperangan yang melanggar akan kesucian bulan yang tidak boleh berperang padanya, lantaran bulan itu musim haji.

Yang berperang ialah kaum Quraisy bersama-sama dengan persukuan-persukuan yang mengikat perjanjian dengannya, menghadapi kaum Qais bersama dengan kabilah yang mengikat perjanjian dengannya pula. Peperangan ini terjadi di Nakhlah, di antara Makkah dengan Thaif. Yang menjadi kepala perang umum dari pasukan Quraisy ialah Harb bin Umaiyah, kerana namanya yang baik dan usianya yang telah lanjut. Dari bani ‘Abdul Muttalib dikepalakan pula az-Zubair bin Abdul Muttalib.

Nabi pun hadir di dalam peperangan ini. Kerjanya ialah mengisikan panah kepada busur ketika akan dipanahkan oleh bapa-bapa saudaranya. 1


PERJALANAN KE SYAM BERSAMA ABU THALIB 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Dalam usia 12 tahun, bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Thalib membawa bersama-samanya ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan “Basra”, mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama Buhaira, seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhati Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada Abu Thalib, katanya, “Budak ini anak tuan hambakah?” Lantas dijawab oleh Abu Thalib, “Ya, budak ini anakku.” Oleh kerana Abu Thalib terlalu kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW sejak dahulu lagi, maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya. Kemudian Buhaira menegaskan, “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.” Abu Thalib menjawab, “Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika dia masih dalam perut ibunya.”

Paderi tadi menambah, “Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang-orang Yahudi mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung.” Maka Abu Thalib pun segeralah pulang ke Makkah bersama Rasulullah SAW. 2

IBU RASULULLAH SAW Wafat 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Setelah Rasulullah SAW berada di bawah jagaan Halimatus Sa’diyyah selama empat tahun lamanya, anak itu dikembalikan kepada ibunya, Aminah. Menurut adat Arab, setiap tahun Aminah pergi menziarahi ke pusara suaminya dekat kota Madinah itu. Setelah Rasulullah SAW dikembalikan oleh Halimah, tidak berapa lama kemudian, pergilah dia berziarah ke pusara suaminya itu bersama-sama dengan anaknya yang masih dalam pangkuan itu, bersama-sama pula dengan budak pusaka ayahnya, seorang perempuan bernama Ummi Aiman.

Tetapi di dalam perjalanan pulang, Aminah ditimpa demam pula, lalu menemui ajalnya. Dia meninggal dan mayatnya dikuburkan di al-Abwa’, suatu dusun di antara kota Madinah dengan Makkah. Anak yang malang itu pindahlah ke dalam gendungan Ummi Aiman. Dialah yang membawa anak itu balik ke Makkah. Anak itu kemudiannya diasuh dengan penuh kasih sayang oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

Berkata Ibnu Ishak : “Maka adalah Rasulullah SAW itu hidup di dalam asuhan datuknya ‘Abdul Muttalib bin Hasyim. Datuknya itu ada mempunyai suatu hamparan tempat duduk di bawah lindungan Ka’bah. itu. Anak-anaknya semuanya duduk di sekeliling hamparan itu. Kalau dia belum datang, tidak ada seorang pun anak-anaknya yang berani duduk dekat, lantaran amat hormat kepada orang tua itu.

Maka datanglah Rasulullah SAW, ketika itu dia masih kanak-kanak, dia duduk saja di atas hamparan itu. Maka datang pulalah anak-anak datuknya itu hendak mengambil tangannya menyuruhnya undur. Demi kelihatan oleh ‘Abdul Muttalib, dia pun berkata : “Biarkan saja cucuku ini berbuat sekehendaknya. Demi Allah sesungguhnya dia kelak akan mempunyai kedudukan penting.’ Lalu anak itu didudukkannya di dekatnya, dibarut-barutnya punggungnya dengan tangannya, disenangkannya hati anak itu dan dibiarkannya apa yang diperbuatnya.” 1

PEMBEDAHAN OLEH JIBRIL AS 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW telah dibedah perutnya semasa bersama bani Sa’ad. Ketika itu Baginda baru berusia lima tahun.

Peristiwa pembedahan perut Rasulullah SAW semasa Baginda tinggal bersama Halimatus Sa’diyyah merupakan salah satu tanda kenabian dan tanda pemilihan Allah SWT terhadapnya untuk sesuatu yang mulia.

Peristiwa ini telah diperihalkan dengan betul dan benar melalui beberapa orang sahabat. Antaranya Anas bin Malik RA. Perihalnya terdapat dalam kitab Hadith Muslim yang bermaksud:

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah didatangi Jibril AS ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jiibril AS telah merebahkan dan membelah betul-betul pada hati dan mengeluarkannya kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata : Inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dari emas dengan air zam-zam barulah dimasukkan semula ke tempat asalnya dan kanak-kanak yang lain berkejaran lari menemui ibu penyusunya Halimah melaung-laung : Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muahmmad dan didapati pucat lesu.

Hikmah Ilahi di sini bukanlah membuang buli-buli kejahatan. Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui dari tubuh badan Rasulullah SAW kerana kalaulah di sana terdapat buli-buli kejahatan yang merupakan sumber kejahatan maka sudah tentu boleh diubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan. Tetapi hikmat Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklan dan mengisytiharkan kerasulan Baginda dan menjadikannya ma’sum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dari kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana dengan jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah. Pembedahan tadi adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dinampakkan oleh pancaindera supaya ini menjadi canang Ilahi kepada manusia seluruhnya dengan boleh dilihat dan didengar.

Sebab yang membawa kita percayakan peristiwa pembedahan ialah kerana kebenaran dan sahnya cerita ini. Kalaulah perkara ini sudah jelas bak di tengahari maka tidak ada sebab-sebab yang boleh kita larikan dari kebenarannya. Tetapi bagi mereka yang lemah iman kepada Allah SWT perkara ini membawa kepada kelemahan iman mereka terhadap kenabian dan kerasulan Muhammad SAW. Orang seperti ini tidak ada bezanya sama ada mereka mengetahui atau tidak akan hikmah-hikmah Ilahi dan sebab-sebabnya. 2

HALIMATUS SA’DIYYAH – IBU SUSU RASULULLAH SAW 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Menurut adat Arab, anak itu tidak disusukan oleh ibunya sendiri jika dia orang terpandang, tetapi dicarikan seorang tukang menyusu dari kampung Badwi. Kerana kehidupan anak-anak itu di dusun boleh menguatkan tubuhnya dan memperbaiki lidahnya (melatih bahasa ‘Arab), agar jangan kena ‘hawa’ kota. Menurut pendapat orang Arab, tukang susu atau tukang didik orang kota itu serupa dengan malam yang gelap gelita layaknya, menghabiskan pengharapan tentang hari kemudian anak-anak. Oleh itu, Abdul Muthalib pun mencari para wanita yang sesuai untuk menyusui Muhammad Rasulullah SAW.

Pada waktu itu, datanglah ke kota beberapa orang perempuan dari Badwi bani Sa’ad bin Bakr mencari anak-anak yang akan disusukan. Yang beruntung beroleh Muhammad ialah seorang perempuan bernama Halimah binti Abu Zu’aib bin al-Harits as-Sa’diyyah. Suaminya bernama al-Harits bin ‘Abdul-Uzza, yang diberi gelaran Abu Kabsyah, berasal dari kabilah yang sama. Maka diterimanyalah anak kecil itu dari ibunya, lalu terus digendungnya ke kampungnya di Badwi Bani Sa’ad bin Bakr. Empat tahun lamanya anak itu di dalam asuhan Halimah. 1

Antara saudara-saudara Rasulullah SAW dari satu susuan di sana adalah Abdullah bin al-Harits, Anisah binti al-Harits, Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits. Bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Muthalib juga disusui di Bani Sa’ad. Suatu hari ibu susuan Rasulullah SAW ini juga pernah menyusui Hamzah semasa beliau masih dalam susuannya. Jadi Hamzah adalah saudara sesusuan Rasulullah SAW dari dua pihak, yaitu dari Tsuwaibah dan dari Halimah as-Sa’diyyah.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung bani Sa’ad ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Rasulullah SAW ke rumah Halimatus Sa’diyyah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dari ladang ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susunya penuh dengan susu. 2

KELAHIRAN RASULULLAH SAW 23 November 2008

Posted by ibnu_taheer in Sejarah Islami.
add a comment

Muhammad Rasulullah SAW dilahirkan di rumah Abu Thalib di dalam perkampungan Bani Hasyim di Makkah pada pagi-pagi hari Isnin dalam bulan Rabi’ul Awwal, tahun yang pertama dari tahun gajah yang masyhur, iaitu 40 tahun setelah Kisra Anusyirwan duduk di atas singgahsana Kerajaan Parsi, bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi, menurut perhitungan Mahmud Pasha, ahli falak Mesir yang masyhur itu. 1

Ibnu Saad meriwayatkan, bahawa ibu Rasulullah SAW berkata, “Setelah bayiku keluar, aku melihat cahaya yang keluar dari kemaluanku, menyinari istana-istana di Syam.” Ahmad juga meriwayatkan dari al-Arbadh bin Sariyah, yang isinya serupa dengan perkataan tersebut.

Diriwayatkan bahawa ada beberapa bukti pendukung kerasulan yang berlaku bertepatan dengan saat kelahiran Rasulullah SAW, iaitu runtuhnya sepuluh balkon istana Kisra, dan padamnya api yang biasa disembah orang-orang Majusi serta runtuhnya beberapa gereja di sekitar Buhairah. Yang demikian ini diriwayatkan al-Baihaqi, sekalipun tidak diakui Muhammad al-Ghazali.

Setelah Rasulullah SAW dilahirkan, ibunya menyuruh orang suruhan ke rumah datuknya, Abdul Muthalib menyampaikan khabar sukacita itu. Maka Abdul Muthalib datang dengan perasaan suka cita, lalu membawa Baginda ke dalam Ka’bah, lalu berdoa kepada Allah dan bersyukur kepadaNya. Dia memilih nama Muhammad bagi Baginda. Nama ini belum pernah dipakai sebelum itu di kalangan Arab. Baginda dikhitan pada hari ketujuh, seperti yang biasa dilakukan orang-orang Arab.

Abdul Muthalib termasyhur sebagai kepala kaum yang disegani dalam Bani Hasyim, demikian juga dalam kaum Quraisy seluruhnya, lantaran pengaruhnya yang besar di dalam urusan peperangan, kekuasaan, hal-ehwal agama dan peraturan masyarakat pada masa itu.

Wanita pertama yang menyusui Baginda setelah ibunya adalah Tsuwaibah, hamba sahaya Abu Lahab, yang kebetulan sedang menyusui anaknya yang bernama Masruh, yang sebelum itu wanita ini juga menyusui Hamzah bin Abdul Muthalib. Setelah itu dia menyusui Abu Salamah bin Abdul-Asad Al-Makhzumy.